SELAMAT DATANG

Selamat datang ke Pemanah Al-Kahfi. Satu kesatuan pemanah tradisional yang berteraskan adab, ilmu, ukhwah dan kasih sayang. Penubuhan Pemanah Al-Kahfi adalah sebagai satu wadah menghidupkan salah satu sunnah Baginda Rasulullah s.a.w. 


"Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jua yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukan Engkau (Wahai Muhammad) yang memanah ketika Engkau memanah, akan tetapi Allah jualah yang memanah (untuk membinasakan orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) dariNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"  

Al-Anfal ayat 17


Hadis dari Imam Ahmad yang menceritakan tentang Uqbah ibnu Amir Al Juhany r.a. yang keluar untuk berlatih memanah lantas mengajak Abdullah bin Zaid r.a. mengikutnya namun dia kelihatan bosan maka Uqbah pun bertanya “Mahukah kamu aku khabarkan sebuah hadis yang aku dengar dari Rasulullah ﷺ ? Ia menjawab “Mahu”. Uqbah berkata, “Aku telah mendengar baginda bersabda yang maksudnya:“Memasukkan tiga orang dalam syurga lantaran satu anak panah; orang yang saat membuatnya mengharapkan kebaikan, orang yang menyiapkannya pada jalan Allah serta orang yang memanahnya pada jalan Allah.” Baginda bersabda lagi: “Berlatihlah memanah dan berkuda. Dan jika kalian memilih memanah maka hal itu lebih baik dari berkuda.


Di atas dasar ayat Al-Quran serta Hadis tersebut dan beberapa hadis lain, maka dilancarkan Pemanah Al-Kahfi di bawah Biro Sukan, Surau Al-Kahfi pada akhir tahun 2014 dan  mula mengambil keahlian pada tahun berikutnya, 2015.


Sehingga kini seramai lebih kurang 20 orang ahli aktif yang istiqomah mengamalkan sunah memanah ini. Keahlian adalah terbuka kepada yang benar-benar berminat untuk menceburkan diri dalam sunah memanah dan kami di Pemanah Al-Kahfi memfokuskan panahan secara tradisional sahaja.





"Semua orang boleh memanah tetapi bukan semua orang boleh menjadi pemanah"

MENDOKONG ADAB

Menceburi sesuatu perkara yang baru perlulah dimulai dengan adab dan seterusnya mengosongkan diri untuk menadah ilmu yang diperturunkan atau diajari oleh guru. Perlu mempunyai sikap berlapang dada dalam dalam menuntut ilmu. Hormat menghormati sesama ahli perlu dipupuk untuk membentuk satu jemaah yang mempunyai akhlak yang murni dan disenangi.